Wednesday, December 30, 2009

KISAH SAYANG....

IKHSAN DARI EMEL SEORANG RAKAN SEPEJABAT..

menitis air mata aku bace nih..sob..sob..sob..


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda
daripada aku. Suatu hari, untuk men-dapatkan sehelai sapu
tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku
ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami
berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding.
Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa
lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam
mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang
lantai. "Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah
rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk
melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.


Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua
belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan
kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam
tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit
menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah
puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri.
Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar
kelak?"


Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik.
Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami
ubati.Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya
tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat
hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik
segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu
berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah
berlalu!" Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu
membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah
kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.
Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan
aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat
pra-universiti.


Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah
bersama ibu di ruang tamu. Aku ter-dengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.
Abang bangga sekali!" "Tapi apalah maknanya
bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Dimana
kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah
adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan
ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"


Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain
pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik
dalam-dalam. Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi
adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup
muka dan menangis. "Kenapa kamu ni? Tahu tak,kalau ayah
terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan
lakukan!"


"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan
dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,"
aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang
bengkak. "Kakak perempuan... biarlah kakak yang
berhenti."


Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada
dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh
yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata,
terdapat sehelai kertas yang
tercatat.... . "Kak...untuk dapat peluang ke universiti
bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat
akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah
termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang
menggunakan air matanya memujuk ayah.


Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik
menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik
berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan
simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang
datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak
lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak
kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku
terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup
tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi.
Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada
pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku
bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk
kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,
"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni,
saya beli satu untuk akak." Aku kaku. Sepatah kata pun
tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air
mataku yang tak dapat ditahan-tahan.


Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu
konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak
seperti selalu. "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk
bersihkan rumah sambut sayabalik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia
pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka." Aku
menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka
pada tangannya.

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh
kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan
menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa
tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja
keras." Apalagi...aku menangis seperti selalu.


Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang
usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang
lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah
adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku
memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya
ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.


Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani
setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan
seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,
"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"


Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak
saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang
langsung tidak ku ingati. "Semasa sama-sama bersekolah
rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari
tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai
kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada
saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah
saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan
calar-balar." "Sejak itulah saya berjanji pada
diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan
kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai
bila-bila." Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin,
mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

4 comments:

  1. menitis air mate bace cite ni..
    OMG.. huhu.. T_T

    ReplyDelete
  2. sedih sedih sedih...mule x berhajat nk bace tp ntah nape terpangil untuk bace...

    kesian adik die 2...memang bagus kan budak 2...huhuhu sanggup berkorban untuk kakak...huhu masih ade lagikah org macam ni kat dunie ni?? huhu mulie sungguh hati die....tersentuh hatiku membace...hilang kejantanan ku seketike...hukhukhuk

    ReplyDelete
  3. lelaki yang menangis atau tersentuh hatinya tak bermakna dia bukan "jantan"..itulah baru namanya lelaki..punya sifat keprihatinan..

    ReplyDelete

: ikut suka korang :

Blogger Wordpress Gadgets